Selasa, 24 September 2013

Peralihan Blackberry langkah terdesak

Peralihan Blackberry langkah terdesakUsaha BlackBerry memperkenalkan model telefon yang dikuasakan sistem operasi baru gagal menarik pelanggan.
Toronto: Rancangan BlackBerry Ltd untuk keluar daripada segmen pengguna dengan kembali menumpukan kepada pelanggan perniagaan dan kerajaan dilihat pasaran sebagai langkah terdesak yang hanya mempercepatkan lagi kehancuran syarikat itu.

Peralihan strategik dan penyusunan semula dramatik itu mencetuskan kebimbangan mengenai daya maju syarikat dalam jangka panjang. Ketidaktentuan itu mungkin menyebabkan semakin banyak rakan telekomunikasi dan pelanggan perniagaan meninggalkan terus platform itu. 
Keyakinan menjunam 


Penganalisis di GMP Securities, Deepak Kaushal, berkata persepsi adalah sembilan per sepuluh daripada realiti, justeru jika keyakinan terhadap platform itu terus menjunam, berapa banyak tunai pun yang syarikat itu ada tidak lagi menjadi soal.

Pengeluar telefon pintar dari Kanada itu sebelum ini adalah peneraju perkhidmatan emel tanpa wayar, mengumumkan peralihan fokus syarikat serta rancangan memberhentikan 4,500 kakitangan serta jangkaan kerugian suku tahun semasa hampir AS$1 bilion.

Kelmarin, Ketua Eksekutif BlackBerry, Thorsten Heins, berkata peralihan strategik kepada pelanggan enterpris itu sejajar dengan komitmen syarikat terhadap aspek keselamatan dan kebolehpercayaan.

“Aspek keselamatan sangat penting kepada enterpris dan mereka tahu penyedia piawai emas dalam bidang ini ialah BlackBerry,” katanya dalam satu kenyataan di sini. 
Hingga 30 Jun lalu, BlackBerry masih mempunyai sejumlah 72 juta pelanggan di seluruh dunia, turun sedikit daripada 76 juta pelanggan yang dicatatkan dalam tempoh tiga bulan sebelum itu.

BlackBerry mula berdepan masalah sejak Apple memperkenalkan iPhone dan Samsung mengeluarkan siri Galaxy yang menggunakan sistem operasi Android dan mencuri pasaran peranti pintar yang sangat menguntungkan. 

BlackBerry cuba bangkit dengan memperkenalkan Z10 yang dikuasakan sistem operasi baru BlackBerry 10 supaya kalangan penggunanya sebelum ini seperti peguam, kakitangan bank dan ahli politik kembali kepadanya.

Percaturan tak menjadi Bagaimanapun, percaturan itu tidak menjadi. Unjuran GMP menjangkakan lebih tiga juta unit peranti terkini BlackBerry 10 tidak laku.

Kisah menimpa BlackBerry mengingatkan pasaran Nortel Networks Corp (Nortel), bekas syarikat besar yang terbabit dalam pengeluar peralatan telekomunikasi dari Kanada.

Kedua-dua syarikat adalah antara syarikat terbesar di Bursa Saham Toronto. Tetapi selepas beberapa ketika, pendapatan Nortel menyusut, keuntungan merudum dan selepas beberapa kegagalan rancangan penyusunan semula, Nortel dipecah dan dijual secara berasingan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar